1 MALAYSIA




“1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.”
- Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak -
Perdana Menteri Malaysia

KONSEP 1MALAYSIA
1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini,

sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.

Dalam erti kata lain 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.



Pengertian ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju sepertimana yang diilhamkan melalui Wawasan 2020, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyat nya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia , dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.


ASAS-ASAS 1MALAYSIA
• Perpaduan adalah pra-syarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara iaitu mencapai status Negara Maju menjelang tahun 2020.
• 1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara
• Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.
• Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan
negara akan berjalan dengan lebih lancar.

ASPEK - ASPEK UTAMA 1MALAYSIA
Konsep 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama seperti berikut:
• Aspek Pertama – Penerapan Teras-Teras Perpaduan
Menerapkan teras-teras perpaduan sebagai budaya dan amalan semua rakyat Malaysia. Teras perpaduan ini adalah komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu di kalangan rakyat berbilang kaum. Teras Perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.
• Aspek Kedua – Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi
Nilai-nilai Aspirasi yang digagaskan dalam konsep 1Malaysia ialah nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju. Nilai-nilai aspirasi akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan ini seterusnya membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.

ASPEK PERTAMA
TERAS-TERAS PERPADUAN
1. Penerimaan
1Malaysia menekankan sikap Penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.
Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.
2. Prinsip-prinsip Kenegaraan yang berasaskan:
a. Perlembagaan Persekutuan
b. Rukun Negara
3. Keadilan Sosial
Semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI
Ketiga-tiga Teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai- nilai murni termasuk nilai-nilai berikut:
• Hormat-menghormati : Hormat menghormati antara semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya
kaum lain. Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan peruntukan-peruntukan undang-undang yang menyentuh sensitiviti kaum.
• Rendah hati (Tawadhuk): Rasa rendah hati atau Tawadhuk adalah perasaan insaf bahawa kita semua adalah rakyat dalam
satu negara yang sama dan kita perlu hidup bersama secara harmoni. Ia juga merangkumi pengertian bahawa setiap kaum,
malah setiap individu ada kelemahan dan kelebihan nya yang sendiri, dan seharusnya kita memanfaatkan kelebihan masing-
masing demi untuk memperkukuhkan masyarakat dan negara.
• Kesederhanaan: Ialah pendekatan sederhana dalam apa jua isu yang berbangkit. Dalam negara bermasyarakat majmuk
seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata bersifat ekstrem tidak langsung boleh diterima kerana ia boleh membawa kepada masalah ketidakstabilan sosial yang lebih parah.
• Berbudi-bahasa: Budi-bahasa ialah tuturkata dan tingkah laku yang tertib dan berpaksikan kesantunan dalam segala
interaksi dan perhubungan dengan pihak lain bagi menjana kerjasama dan permuafakatan yang lebih erat.

ASPEK KEDUA
NILAI-NILAI ASPIRASI
Dalam melaksanakan aspek kedua gagasan 1Malaysia, nilai-nilai berikut perlu diberi penekanan :
• Budaya Berprestasi Tinggi : Sifat memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang
terbaik. Sikap sambil lewa dan “acuh tak acuh”tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju.
• Budaya Ketepatan : Sebagai rakyat sebuah negara yang berhasrat mencapai status negara maju,rakyat Malaysia perlu
dikenali dengan budaya ketepatan, termasuklah menepati waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan kewajipan.
• Budaya Ilmu: Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan
yang tinggi. Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk
menimba ilmu sepanjang hayat.
• Integriti : Rakyat Malaysia perlu memiliki integriti yang tinggi dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab agar bangsa dan negara sentiasa disegani dan dihormati oleh semua pihak. Integriti merangkumi sifat-sifat amanah, bersih dan cekap dalam melakukan sebarang tugas dan melaksanakan tanggungjawab.
• Ketabahan: Ketabahan dalam mengharungi masalah dan cabaran yang mendatang. Rakyat Malaysia seharusnya bersifat tidak mudah mengaku kalah, sebaliknya perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi serta semangat juang yang kental dalam apa jua bidang yang diceburi.
• Kesetiaan: Kesetiaan sepenuhnya kepada negara Malaysia dan kesediaan untuk berbakti dan berkorban demi negara yang tercinta.
• Kebijaksanaan: Ialah cara berhadapan dengan sebarang masalah dengan penuh berhemah dan teliti agar tidak berlaku perkara-perkara yang menyinggung hati dan perasaan mana - mana pihak yang lain.
• Budaya Inovasi : Adalah kesediaan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi
dalam apa jua lapangan yang kita ceburi. Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi
pemimpin dalam bidang masing-masing. Kita mesti berani berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru
dalam menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis.


Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

diyakini akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduan nya dan tinggi mertabatnya pada pandangan dunia.

Senarai Perdana Menteri Malaysia

Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Bapa Kemerdekaan

1957-1970

Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein

Bapa Pembangunan

1970-1976

Tun Hussein bin Dato' Onn

Bapa Perpaduan

1976-1981

Tun Dr. Mahathir Mohamad

Bapa Pemodenan

1981-2003

Tun Abdullah Ahmad Badawi

Bapa Pembangunan Modal Insan

2003-2009

Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak

2009-kini

MATLAMAT DAN PRINSIP RUKUN NEGARA.

Matlamat Rukun Negara -

Mengukuhkan perpaduan. memelihara corak hidup demokratik. mencipta sebuah masyarakat yang adil. Menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai. membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi.

Prinsip-prinsip Rukun Negara -

Kepercayaan kepada Tuhan:

Agama merupakan pegangan utama rakyat Malaysia. rakyat yang beragama mudah diurus. perlembagaan menetapkan Islam adalah agama rasmi tetapi agama lain bebas -diamalkan.

Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara:

Semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri. Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi. penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.

Keluhuran Perlembagaan:

Perlembagaan merupakan undang-undang utama perlembagaan dianggap luhur, suci dan unggul rakyat dituntut supaya menerima, mematuhi, menyanjung dan mempertahankannya.

Kedaulatan Undang-Undang:

Rakyat dituntut menghormati undang-undang dengan tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang. rakyat akan hidup dalam keamanan apabila kedaulatan undang-undang terpelihara. rakyat bertanggungjawab memastikan undang-undang negara sentiasa didaulatkan dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak.

Kesopanan Dan Kesusilaan:

Rakyat Malaysia dituntut bersopan dan bertatasusila. ia merupakan nilai-nilai murni yang melambangkan keperibadian seseorang individu. amalan ini akan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni, penyayang dan saling menghormati.

Sejarah

Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan di Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui Selat Melaka. Banyak kerajaan awal wujud pada abad ke-10 berasal daripada bandar pelabuhan. Ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Bruas dan Gangga Negara di Perak, serta Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis, Belanda dan Britain untuk mewujudkan petempatan atau koloni di Selat Melaka.

Petempatan selat koloni diraja Britain diwujudkan pada 1826, dan Britain sedikit demi sedikit menyebarkan pengaruh dan kawalannya ke atas seluruh semenanjung. Penempatan selat ini terdiri dari Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Pada 1867, Inggeris menjadi semakin agresif dan mula mendapatkan negeri-negeri Melayu yang lain. Disebabkan perang saudara, gangguan kongsi gelap Cina, Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah masalah penduduk Negari-negeri Selat. Akhirnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke negeri-negeri Melayu (iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikenali juga Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-negeri Tidak Bersekutu iaituPerlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berada di bawah kuasa Thailand.

Di Borneo pula, Borneo Utara Britain dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu (sekarang Sabah) ditabalkan sebagai Koloni Diraja British, manakala Sarawak menjadi milik keluarga Brooke. Akibat penaklukan Jepun pada Perang Dunia ke-2 dan kebangkitan komunis, sokongan untuk kemerdekaan semakin kuat. Apabila Britain mahu mewujudkan Malayan Union selepas perang berakhir, masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-Melayu, menolak kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal (berbanding dwiwarganegara, yang membolehkan kaum pendatang mendapat status warganegara Malaya dan negara asal mereka). Kemerdekaan untuk Semenanjung Tanah Melayu diperolehi pada 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya, tanpa penyertaan Singapura.

Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak. Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei yang kecewa kerana sultan mereka tidak disenarai dalam bakal Yang Di-Pertuan Agong. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia, dan tuntutan Sabah oleh Filipina. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan rusuhan kaum terjadi pada 1969.

Kini Malaysia masih lagi mempunyai beberapa masalah dengan jirannya seperti masalah penambakan tanah oleh Singapura dan isu harga air. Dengan Indonesia juga terdapat sedikit perselisihan mengenai pemberian konsesi carigali minyak di perairan Sabah serta masalah pekerja asing tanpa izin (PATI). Namun segala masalah tersebut dirundingkan secara aman dengan semangat setiakawan. Tambahan lagi, rakyat Malaysia dan jiran-jirannya berasal dari rumpun yang sama. Terutamanya dengan rakyat Indonesia, Malaysia telah banyak menjalin ikatan dengan rakyat di negara itu.

Pemasyhuran Kemerdekaan

Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu merupakan peristiwa pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Tarikh ini dipilih dalam mesyuarat antara Ketua Pemuda UMNO Tun Sardon Jubir dan timbalannya Haji Ahmad Badawi (bapa Perdana Menteri Malaysia kini) di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1956. Mufti Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim (bapa Haji Ahmad Badawi) turut ikut serta dalam perbincangan tersebut.


(Malam Merdeka)
Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.





BENDERA UNION JACK DITURUNKAN


BENDERA PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DINAIKKAN



(Upacara Pengisytiharan)
Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikiuti oleh pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan

Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.




PERISTIWA PEMASYHURAN KEMERDEKAAN

AKHBAR BERITA HARIAN MENYIARKAN BERITA KEMERDEKAAN TANAH MELAYU

AKHBAR UTUSAN ZAMAN MENYIARKAN PERISTIWA PEMASYHURAN KEMERDEKAAN

AKHBAR THE MALAY MAIL MEMAPARKAN PEMASYHURAN KEMERDEKAAN DI MUKA DEPANNYA




Malaysia

Malaysia (Jawi: مليسيا) ialah sebuah negara persekutuan yang terletak di Asia Tenggara. Malaysia mempunyai dua kawasan utama yang terpisah oleh Laut China Selatan; iaitu Semenanjung Malaysia bersempadankan Thailand di utara dan Singapura di selatan; dan Malaysia Timur bahagian utara Pulau Borneo yang bersempadan dengan Indonesia di selatan dan Brunei di utara. Malaysia adalah salah satu negara perintis ASEAN.

Bendera Malaysia - Jalur Gemilang

Jata Negara Malaysia

Cogan kata: Bersekutu Bertambah Mutu
Lagu negara: "Negaraku"
Ibu negara: Kuala Lumpur
Bandar raya terbesar: Kuala Lumpur
Bahasa rasmi: Bahasa Melayu
Kerajaan: Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan
Yang di-Pertuan Agong (Ketua Negara): Tuanku Mizan Zainal Abidin
Perdana Menteri (Ketua Kerajaan): Mohd Najib bin Abdul Razak
Kemerdekaan: 31 Ogos 1957
Mata wang: Ringgit (RM)
Internet TLD: .my
Kod panggilan: +60