Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan di Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui Selat Melaka. Banyak kerajaan awal wujud pada abad ke-10 berasal daripada bandar pelabuhan. Ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Bruas dan Gangga Negara di Perak, serta Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis, Belanda dan Britain untuk mewujudkan petempatan atau koloni di Selat Melaka.
Petempatan selat koloni diraja Britain diwujudkan pada 1826, dan Britain sedikit demi sedikit menyebarkan pengaruh dan kawalannya ke atas seluruh semenanjung. Penempatan selat ini terdiri dari Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Pada 1867, Inggeris menjadi semakin agresif dan mula mendapatkan negeri-negeri Melayu yang lain. Disebabkan perang saudara, gangguan kongsi gelap Cina, Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah masalah penduduk Negari-negeri Selat. Akhirnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke negeri-negeri Melayu (iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikenali juga Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-negeri Tidak Bersekutu iaituPerlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berada di bawah kuasa Thailand.
Di Borneo pula, Borneo Utara Britain dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu (sekarang Sabah) ditabalkan sebagai Koloni Diraja British, manakala Sarawak menjadi milik keluarga Brooke. Akibat penaklukan Jepun pada Perang Dunia ke-2 dan kebangkitan komunis, sokongan untuk kemerdekaan semakin kuat. Apabila Britain mahu mewujudkan Malayan Union selepas perang berakhir, masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-Melayu, menolak kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal (berbanding dwiwarganegara, yang membolehkan kaum pendatang mendapat status warganegara Malaya dan negara asal mereka). Kemerdekaan untuk Semenanjung Tanah Melayu diperolehi pada 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya, tanpa penyertaan Singapura.
Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak. Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei yang kecewa kerana sultan mereka tidak disenarai dalam bakal Yang Di-Pertuan Agong. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia, dan tuntutan Sabah oleh Filipina. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan rusuhan kaum terjadi pada 1969.
Kini Malaysia masih lagi mempunyai beberapa masalah dengan jirannya seperti masalah penambakan tanah oleh Singapura dan isu harga air. Dengan Indonesia juga terdapat sedikit perselisihan mengenai pemberian konsesi carigali minyak di perairan Sabah serta masalah pekerja asing tanpa izin (PATI). Namun segala masalah tersebut dirundingkan secara aman dengan semangat setiakawan. Tambahan lagi, rakyat Malaysia dan jiran-jirannya berasal dari rumpun yang sama. Terutamanya dengan rakyat Indonesia, Malaysia telah banyak menjalin ikatan dengan rakyat di negara itu.
No comments:
Post a Comment